Monday, March 28, 2011 |

MESIR: TITIK MULA KEBANGKITAN ISLAM


Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh...

Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah SWT kerana kita semua diberi peluang untuk menjejakkan kaki buat kali kedua di bumi mesir ini selepas apa yang berlaku baru-baru ini. Semoga sahabat sahabiah semua dalam keadaan sihat sejahtera dan lebih bersemangat untuk meneruskan cita-cita di bumi `mesir gadid` ini.

Allah SWT telah memilih 11 februari 2011 sebagai tarikh kejatuhan rejim Mubarak. Tarikh ini hampir sama dengan rebahnya as-Syahid Hassan Al-Banna pada 12 februari 1949 di mesir. Hosni Mubarak jatuh tersungkur dalam tangan rakyatnya sendiri yang bangkit setelah 30 tahun menurut pemerintahan rejim itu. Seramai lebih 3 juta rakyat mesir berkumpul di dataran Tahrir bagi mendesaknya berundur. Siapa yang mengerahkan mereka untuk keluar berdemonstrasi kalau bukan naluri mereka sendiri yang digerakkan oleh Allah SWT untuk bangkit menentang kezaliman.

Dari peristiwa ini kita semua dapat melihat semangat keberanian dan kekentalan hati pemuda-pemuda islam (syabab misr) bermulanya dari seorang pemuda yang mencetuskan kebangkitan ini melalui rangkaian sosial internet. Mereka tergerak hati menyertai demonstrasi (mudhoharat) ini kerana niat yang sama tidak lain hanya kerana Allah SWT. Syabab-syabab ini merelakan diri mereka berkampung selama 18 hari tanpa terjamin urusan makan minum mereka hanya untuk memastikan matlamat mereka tercapai. Tanpa peluru dan senjata, akhirnya mereka berjaya menjatuhkan Hosni Mubarak.

Bumi Mesir ini menyaksikan sejarah penindasan ulamak yang begitu lama bermula dari zaman Firaun. Sekali lagi kesilapan firaun diulangi oleh pemerintah mesir dengan membunuh para ulamak seperti Almarhum Syed Qutb dan ramai lagi. Ada juga ulama yang terpaksa keluar daripada mesir seperti Syeikh Yusuf al-Qaradawi kerana keselamatannya diancam oleh pemerintah mesir.

Tidak dinafikan, pihak yang sedang 'kecut perut' dengan apa yang berlaku adalah Israel laknatullah dan US. Israel terutamanya dapat bertahan sehingga kini sebahagian besarnya adalah atas ihsan dan jasa Si Durjana ini. Apa lagi yang tidak menakutkan mereka melainkan kambing hitamnya sudah mati kena sembelih. Kejatuhan Mubarak merupakan penamat terakhir untuk Israel.

Apa yang berlaku ini menepati janji Allah dan apa yang dikatakan oleh Sang KekasihNya Muhammad Sollallahu Alaihi Wasallam. Kebangkitan rakyat Arab yang berada di sekeliling Isarel adalah menepati ramalan bahawa peperangan terakhir antara Muslimin dan Yahudi Zionis di Tanah Suci Baitul Muqaddis kian hampir. Peperangan akhir zaman yang menjadi permulaan kepada tamat hayat dunia ini.

Selepas Mesir, kita akan perhatikan lagi revolusi demi revolusi di sebahagian besar negara Arab akan berlaku. Libya dan Yaman hampir pasti akan mengikut jejak Mesir. Jordan juga dikatakan tidak ketinggalan. Tidakkah ini memberikan petanda yang merujuk kepada pertembungan yang sama?

Namun, disebabkan kejatuhan Mubarak ini adalah kunci kepada kehancuran Israel, maka perkara ini tidak akan berakhir dengan mudah. Kejatuhan Mubarak tidak dipandang ringan oleh mereka begitu sahaja. Apa yang berlaku hari ini adalah kejayaaan, namun bukan kejayaan yang mutlak. Siri kekacauan di Mesir kemungkinan besar akan berterusan terutama apabila musuh Islam akan mula campur tangan dan memasukkan jarumnya untuk mencetuskan gelombang serangan balas terutama jika keadaan menunjukkan Ikhwan Muslimin akan kembali mengambil tempat di hati rakyat mesir.

Sama-sama kita berdoa agar negeri ini terus bertahan dan dibantu Allah di dalam usaha mereka untuk menubuhkan negara Mesir yang demokrasi dan Islamik. Doakan kesatuan hati mereka, agar jika ada jarum cuba membenamkan diri, jarum itu dapat dipatahkan dan dimusnahkan.

Kita semua menjadi saksi kepada kebangkitan rakyat mesir. InsyaAllah, kebangkitan rakyat di Mesir adalah permulaan kepada kemenangan Islam di seantero dunia dan kembalikan zaman kegemilangan islam. Amin ya Rabb...

Semoga sahabat-sahabiah semua dapat mengambil iktibar daripada kebangkitan ini dan terus istiqamah dalam meneruskan perjuangan. Niat yang ikhlas hanya kerana Allah SWT ditambah usaha sendiri sudah cukup untuk menempuhi segala ujian dan cabaran mendatang terutamanya peperiksaan yang hampir tiba. Cabaran peperiksaan sungguh berat bagi kita sebagai pelajar. Oleh itu, kita perlu ikhlaskan niat kerana Allah bukan hanya belajar semata-mata. Tanpa redha Allah sudah pasti kita tidak akan berjaya. Semoga kita semua berjaya dari segenap aspek kehidupan sebagai pemuda harapan islam (syabab muslim).

Rujukan : buku Revolusi Mesir 2011, Masa Depan Untuk Islam.

0 comments: