Wednesday, April 27, 2011 |

"study" Adalah Ibadah

Tiap-tiap perkara yang tinggi untuk dicapai ia berhajat kepada pengorbanan yang cukup besar,dengan meninggalkan kelazatan kehidupan semata-mata untuk mencapai kejayaan yang tinggi.

Contohnya, bagi para peniaga yang bermusafir jauh, mereka perlu menempuh pelbagai cabaran di dalam perjalanan mereka, tetapi penat lelah mereka itu hilang apabila mendapat keuntungan yang besar.

Begitulah juga penuntut ilmu, mereka telah mencari ilmu dengan penat lelah, bangun di waktu malam semata-mata untuk mengulangkaji ilmu yang mereka pelajari, tetapi penat lelah semua itu tidak terasa apabila memperoleh ilmu yang diinginkan.

Kepada sahabat-sahabiah sekalian, janganlah kamu berputus asa di dalam menuntut ilmu. Biar apa pun yang terjadi hanya ilmulah yang kita inginkan. Bersyukurlah kita kepada Allah kerana dianugerah keupayaan untuk belajar, di mana keupayaan ini tidak dikurniakan kepada semua orang.

Janganlah kita menganggap kegagalan di dalam peperiksaan merupakan kegagalan yang perlu diratapi, sebaliknya kita menganggap ianya merupakan satu cabaran kepada golongan yang menyintai cabaran dan ujian.

Marilah kita menjadi orang yang mampu mengubah kegagalan kepada kejayaan. Itulah kejayaan yang sebenar. Lihatlah peristiwa Uhud, tentera Islam tewas tetapi ia tidak melemahkan iman mereka, sebaliknya mereka terus memperbaiki kelemahan untuk terus berjuang di jalan Allah.

Apabila kita semua berada di dalam perjuangan ilmu, setiap kegagalan mempunyai hikmah yang tersendiri yang mungkin kita dapat mengerti atau tidak mampu kita mengerti. Apa yang paling penting adalah belajar dan juga berdoa mesti diteruskan.

Nabi Musa telah berdoa kepada Tuhan meminta diberi kemenangan tetapi hanya selepas 40 tahun barulah kemenangan itu muncul. Tetapi di dalam masa yang sama, Nabi Musa tetap terus gigih berdakwah dan berjuang tanpa sebarang jemu dan bosan.

Begitu juga dengan kita, janganlah kita bosan membaca dan belajar. Jangan jadikan kegagalan di dalam exam sebagai punca kelemahan kita, kerana peperiksaan itu hanyalah sebagai alat penilai kepada ilmu kita bukannya matlamat yang paling tinggi.

Janganlah gusar dengan kegagalan kerana ia datang dan pergi.

Allah Taala lebih mengetahui pada waktu mana yang sesuai doa seseorang itu dimakbulkan dengan mengikut kehendak-Nya bukannya kehendak hamba.

Sekiranya kita diberi faham tentang Allah, nescaya kita akan memahami sebarang takdir Allah. Kenapa kita ditaqdirkan sedemikian. Kita mungkin mengetahui jawapannya jika kita dapat merenungnya dengan baik.

Kadang-kadang halangan daripada Allah adalah sebagai kurniaan kepada kita, mungkin Dia ingin kita lebih dekat dengan-Nya. Mungkin Dia rindu mendengar suara kita dan mungkin Dia ingin kita berdoa selalu kepada-Nya.

Apakah ilmu yang diterima oleh pelajar itu tidak bernilai harganya dan menyebabkan mereka yang gagal di dalam exam merasa kecewa tanpa rasa bersyukur di atas kurniaan ilmu.

Janganlah berputus asa, sebab ia akan menyebabkan kita menjadi lemah dan tidak berdaya. Marilah kita bersangka baik kepada Allah.

Allah mencipta kita maka Dia mengetahui apa yang sesuai dengan hambanya.

Yakinlah pada diri kita, maka kita akan mampu melakukan apa sahaja yang kita inginkan dengan izin Allah.

Sesungguhnya kejayaan itu adalah rahsia Allah yang tersembunyi agar kita tidak berputus asa. Maka jadikan ia sebagai pemangkin kepada kita untuk mencapai kejayaan.


‘Apabila seseorang itu tidak diberi pertolongan oleh Allah,

maka perkara pertama yang menghancurkannya adalah usahanya’

0 comments: