Saturday, October 15, 2011 |

WARKAH BUAT SAUDARA PEREMPUANKU [Siri 1]


بسم الله الرحمن الرحيم




Marilah sama-sama kita memuji Allah s.w.t., dengan pujian yang menyeluruh, yang penuh dengan kebaikan dan keberkatan. Pujian yang meliputi seluruh kerajaan langit dan bumi, juga segala isi antara kedua-duanya, yang berjalan mengikut kudrat dan iradat Allah s.w.t., yang lampau mahupun yang mendatang.

Selawat dan salam kita panjatkan buat sebaik-baik makhluk Allah s.w.t., penghulu kita, imam kita, juga ikutan kita, Nabi Muhammad s.a.w.

Assalamualaikum wrt. wbt.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُواْ رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالاً كَثِيراً وَنِسَاء وَاتَّقُواْ اللّهَ الَّذِي تَسَاءلُونَ بِهِ وَالأَرْحَامَ إِنَّ اللّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيباً

“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang

telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” [An-Nisaa':1]

Wanita Islam (muslimah) adalah separuh daripada umat. Bahkan merupakan bahagian yang paling penting dan berperanan besar. Pada pundak wanita ini tercoraknya perjalanan sesebuah umat. Kejayaan dan kecemerlangan wanita dalam setiap umat adalah jaminan kepada kelangsungan umat itu sendiri.

Justeru, Islam amat menitikberatkan soal wanita dengan diamanahkan kepada lelaki untuk menjaga dan membentuk mereka sebaik mungkin. Islam telah meninggikan nilai wanita. Mengangkat mereka sesuai dengan keupayaan mereka. Islam juga telah meletakkan wanita setaraf dengan lelaki dalam menunaikan tugas yang dipertanggungjawabkan.



Firman Allah s.w.t.:

مَنْ عَمِلَ صَالِحاً مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ

Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia b
eriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.” [An-Nahl: 97]

Wanita di sisi Islam ialah adik-beradik seibu sebapa dengan lelaki. Juga merupakan rakan kongsi dalam memakmurkan zuriat kejadian Ilahi. Tiada perbezaan antara kedua-duanya dari segi iman mahupun iktikad, pahala mahupun dosa. Bahkan mereka mempunyai musuh yang sama iaitu syaitan, dengan tipu daya yang sama dan hasutan yang tiada beza terhadap kedua-duanya.

فَقُلْنَا يَا آدَمُ إِنَّ هَذَا عَدُوٌّ لَّكَ وَلِزَوْجِكَ

فَلَا يُخْرِجَنَّكُمَا مِنَ الْجَنَّةِ فَتَشْقَى

“Maka, Kami berfirman: Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah ia menyebabkan kamu berdua keluar dari Syurga, kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita.” [Taha: 117]

Dari sini, jelaslah kepada kita bahawa neraca kemuliaan di sisi Allah s.w.t.



hanyalah satu, iaitu TAQWA. Firman Allah s.w.t.:


يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوباً وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” [Al-Hujuraat: 13]


فَاسْتَجَابَ لَهُمْ رَبُّهُمْ أَنِّي لاَ أُضِيعُ عَمَلَ عَامِلٍ مِّنكُم مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَى بَعْضُكُم مِّن بَعْضٍ فَالَّذِينَ هَاجَرُواْ وَأُخْرِجُواْ مِن دِيَارِهِمْ وَأُوذُواْ فِي سَبِيلِي وَقَاتَلُواْ وَقُتِلُواْ لأُكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَلأُدْخِلَنَّهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الأَنْهَارُ ثَوَاباً مِّن عِندِ اللّهِ وَاللّهُ عِندَهُ حُسْنُ الثَّوَابِ

“Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firman-Nya): Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agama-Ku, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) - sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh).” [A-li'Imraan: 195]


Tanggungjawab keimanan bagi setiap wanita itu sama dengan lelaki. Tidak kurang dan tidak lebih. Iaitu tanggungjawab selaku individu muslim yang beriman kepada Allah dan rasulullah s.a.w., serta kewajipan mengamalkan syariatullah.

Al-Quran telah mendatangkan beberapa perumpamaan tentang wanita. Antaranya kisah dua orang wanita yang menjadi isteri kepada nabi Allah a.s. Cerita perihal pengkhianatan dan keburukan akhlak mereka. Dua orang wanita ini dijadikan contoh seburuk-buruk isteri di sisi Allah s.w.t.

ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلاً لِّلَّذِينَ كَفَرُوا اِمْرَأَةَ نُوحٍ وَاِمْرَأَةَ لُوطٍ كَانَتَا تَحْتَ عَبْدَيْنِ مِنْ عِبَادِنَا صَالِحَيْنِ فَخَانَتَاهُمَا فَلَمْ يُغْنِيَا عَنْهُمَا مِنَ اللَّهِ شَيْئاً وَقِيلَ ادْخُلَا النَّارَ مَعَ الدَّاخِلِينَ

“Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ).” [At-Tahriim: 10]

Dalam masa yang sama, diungkapkan pujian terhadap dua orang wanita lain. Pertama, isteri Firaun yang mengesakan Allah s.w.t. dan tidak memudaratkannya akan kekufuran si suami, Firaun. Kedua, Maryam binti ‘Imran. Seorang gadis yang suci daripada segala noda dan fitnah dunia. Yang rezeki hariannya (berupa makanan) diturunkan terus dari syurga. Kedua-duanya wanita ini diletakkan sebagai sebaik-baik perumpamaan bagi muslimin dan muslimat.

وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلاً لِّلَّذِينَ آمَنُوا اِمْرَأَةَ فِرْعَوْنَ إِذْ قَالَتْ رَبِّ ابْنِ لِي عِندَكَ بَيْتاً فِي الْجَنَّةِ وَنَجِّنِي مِن فِرْعَوْنَ وَعَمَلِهِ وَنَجِّنِي مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ

“Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika dia berkata: Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim.” [At-Tahriim: 11]

وَمَرْيَمَ ابْنَتَ عِمْرَانَ الَّتِي أَحْصَنَتْ فَرْجَهَا فَنَفَخْنَا فِيهِ مِن رُّوحِنَا وَصَدَّقَتْ بِكَلِمَاتِ رَبِّهَا وَكُتُبِهِ وَكَانَتْ مِنَ الْقَانِتِينَ

“Dan juga (satu misal perbandingan lagi, iaitu): Maryam binti Imran (ibu Nabi Isa, seorang perempuan) yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari disentuh oleh lelaki; tetapi oleh sebab Kami telah takdirkan dia mendapat anak) maka Kami perintahkan Jibril meniup masuk ke dalam kandungan tubuhnya dari roh (ciptaan) Kami; dan (sekalipun Maryam itu hidup di antara kaum kafir) dia mengakui kebenaran kalimah-kalimah Tuhannya serta kitab-kitab-Nya; dan dia menjadi dari orang-orang yang tetap taat.” [At-Tahriim: 12]

Jika diperhatikan, terdapat banyak lagi nas dalam al-Quran yang ditujukan kepada manusia seluruhnya, kepada lelaki dan wanita, kepada mukminin dan mukminat, yang keseluruhannya menyamakan kedudukan antara lelaki dan wanita mengikut kemampuan fitrah kejadian dua jantina ini.

إِنَّ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَالْقَانِتِينَ وَالْقَانِتَاتِ وَالصَّادِقِينَ وَالصَّادِقَاتِ وَالصَّابِرِينَ وَالصَّابِرَاتِ وَالْخَاشِعِينَ وَالْخَاشِعَاتِ وَالْمُتَصَدِّقِينَ وَالْمُتَصَدِّقَاتِ وَالصَّائِمِينَ وَالصَّائِمَاتِ وَالْحَافِظِينَ فُرُوجَهُمْ وَالْحَافِظَاتِ وَالذَّاكِرِينَ اللَّهَ كَثِيراً وَالذَّاكِرَاتِ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْراً عَظِيماً

“Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.” [Al-Ahzaab: 35]

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ

وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْراً أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالاً مُّبِيناً

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” [Al-Ahzaab: 36]

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَ


حْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.” [An-Nuur: 30]

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya..” [An-Nuur: 31]

Semua ayat di atas menyokong kuat bahawa lelaki mahupun wanita adalah sama di sisi Islam. Saling lengkap melengkapi antara satu sama lain bagi menyempurnakan kehidupan yang bahagia dan dinaungi rahmat Ilahi.

Bahkan dalam ayat yang lain, Allah s.w.t. telah menggalakkan kepada lelaki dan perempuan untuk berlumba-lumba dan bersaing dalam melakukan amal kebaikan. Ini jelas kepada kita bahawa lelaki dan perempuan dinilai sama di sisi Allah s.w.t. Yang berbeza hanyalah amal dan taqwa. Firman-Nya dalam surah an-Nahl:

مَنْ عَمِلَ صَالِحاً مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ

“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.” [Al-Nahl: 97]

Oleh yang demikian, wanita itu setaraf dengan lelaki. Pintu perlumbaan dalam ibadat antara lelaki dan wanita juga terbuka luas. Setiap daripada mereka akan diberikan ganjaran dan ditinggikan darjat di sisi Allah s.w.t. selaras dengan amal masing-masing. Buktinya, firman Allah s.w.t.:

كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ

“Tiap-tiap diri bertanggungjawab atas apa yang telah diperbuatnya..” [Al-Muddaththir: 38]

مَنْ عَمِلَ صَالِحاً فَلِنَفْسِهِ وَمَنْ أَسَاء فَعَلَيْهَا وَمَا رَبُّكَ بِظَلَّامٍ لِّلْعَبِيدِ

“Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri, dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya.” [Fussilat: 46]

Wanita dan lelaki juga setaraf dan menerima hukuman yang sama jika melakukan kesalahan. Firman Allah s.w.t.:

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِئَةَ جَلْدَةٍ

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat..” [An-Nuur: 2]

Islam turut mengharuskan kepada wanita untuk memiliki harta sendiri, dan mereka ialah pemilik kepada harta mereka tanpa perlu ada campur tangan daripada orang lelaki.

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبُواْ وَلِلنِّسَاء نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبْنَ

“(Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan..” [An-Nisa: 32]

Dalam pada itu, Islam telah membahagikan tugas dan tanggungjawab tersendiri bagi lelaki dan wanita. Tanggungjawab tersebut bersesuaian dengan kudrat dan fitrah kejadian masing-masing.

Antara perkara yang dipertanggungjawabkan ialah lelaki sebagai suami atau ketua keluarga wajib menjaga wanita (isteri) dan keluarga masing-masing. Hal ini telah digariskan sejak zaman Nabi Adam a.s. lagi. Firman Allah s.w.t.:

فَقُلْنَا يَا آدَمُ إِنَّ هَذَا عَدُوٌّ لَّكَ وَلِزَوْجِكَ فَلَا يُخْرِجَنَّكُمَا مِنَ الْجَنَّةِ فَتَشْقَى

“Maka, Kami berfirman: Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah ia menyebabkan kamu berdua keluar dari Syurga, kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita.” [Taha: 117]

Begitu juga pada zaman Nabi Musa a.s.:

إِذْ رَأَى نَاراً فَقَالَ لِأَهْلِهِ امْكُثُوا إِنِّي آنَسْتُ نَاراً لَّعَلِّي آتِيكُم مِّنْهَا بِقَبَسٍ أَوْ أَجِدُ عَلَى النَّارِ هُدًى

“Ketika dia melihat api, lalu berkatalah dia kepada isterinya: Berhentilah! Sesungguhnya aku ada melihat api semoga aku dapat membawa kepada kamu satu cucuhan daripadanya, atau aku dapat di tempat api itu penunjuk jalan.” [Taha: 10]

Demikianlah adab dan tatatertib hubungan suami isteri dalam Islam. Hubungan lelaki dan wanita sebagai suami isteri didasari dengan kasih sayang mendalam dan persefahaman yang sekata. Lelaki dikurniakan kelebihan. Wanita juga dianugerahkan kelebihan. Setiap daripada lelaki dan wanita ini dituntut supaya saling menghormati kelebihan masing-masing. Sebuah kelebihan yang saling memerlukan dan melengkapi antara satu sama lain.

Seperti saling lengkap melengkapinya siang dan malam. Hal ini dijelaskan dalam firman Allah s.w.t.:

وَاللَّيْلِ إِذَا يَغْشَى . وَالنَّهَارِ إِذَا تَجَلَّى . وَمَا خَلَقَ الذَّكَرَ وَالْأُنثَى

“Demi malam apabila ia menyelubungi segala-galanya (dengan gelap-gelitanya), Dan siang apabila ia lahir terang-benderang; Demi Yang menciptakan (makhluk-makhluk-Nya) lelaki dan perempuan, (jantan dan betina);” [Al-Lail: 1-3]

Begitulah perumpamaan antara lelaki dan wanita yang telah dibawa oleh al-Quran. Masing-masing ada tugas dan kelebihan. Setiap kelebihan melengkapkan kelebihan selainnya. Siang tidak boleh menjadi malam, dan samalah juga malam yang tidak boleh menjadi siang. Maha Suci Engkau Wahai Allah..

Di sana terdapat satu perumpamaan lain tentang wanita iaitu diibaratkan seperti tulang rusuk yang bengkok. Bukanlah bengkok itu aib atau cacat. Malah, bengkok itu sesuai dengan tugasnya untuk menjaga dan memelihara hati serta paru-paru. Itulah kiasan betapa beratnya tugas dan besarnya peranan wanita.

Subhanallah! Betapa hebatnya ciptaan-Mu.

Wanita ialah saudara seibu sebapa kepada lelaki. Isteri kepada lelaki. Anak perempuan kepada lelaki. Juga ibu kepada lelaki. Daripada merekalah munculnya lelaki yang hebat seperti ibu Musa, isteri Firaun, Maryam ibu ‘Isa, Hajar ibu Ismail, dan lain-lain lagi..

WAN MOHD AL HAFIZ BIN WAN MUSTAPA

Kuliah al-Quran lil-Qiraat wa-‘Ulumiha,

Al-Azhar, Tanta

Tanggal: 16 Zulkaedah 1432

Bersamaan: 14 Oktober 2011

Sunday, October 9, 2011 |

Saya Mesti Muslim Dari Sudut Akhlak

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua.

Pada entry kali ini, saya berminat untuk berkongsi info yang telah saya sendiri bentangkan dalam usrah terakhir sebelum imtihan baru-baru ini. Ya. Tajuknya ialah “Saya Mesti Muslim Dari Sudut Akhlak”.

Semenjak mengenali usrah iaitu dari sekolah menengah sehinggalah sekarang, sudah berulang kali saya dipertemukan dengan tajuk tersebut. Sama ada sahabat saya yang bentang, atau mungkin juga naqib. Dan boleh jadi sesiapa sahaja. Namun, input yang saya terima sebelum ini tidak jauh berbeza. Sekadar berpusing dalam skop yang sama.

Sebelum saya pergi lebih lanjut, sukalah saya jelaskan bahawa saya ini bukanlah hebat dalam berkata-kata. Juga tidak hebat dalam pengendalian usrah. Saya lebih suka mengikuti usrah berbanding membawa usrah sendiri. Tetapi, hal tersebut berbeza bila melibatkan penulisan. Mungkin saya lebih suka membaca dan menulis berbanding bercakap. Apapun, lain orang lain keistimewaan. Semua itu adalah nikmat Allah s.w.t. yang tidak terhingga. Alhamdulillah. Terima kasih Allah!

Berbalik kepada noktah awal, ingin dijadikan cerita, pada usrah terakhir tersebut saya telah ditaklifkan untuk membuat pembentangan berkenaan tajuk akhlak. Maka, terlintas dalam benak saya untuk cuba memberikan suatu input yang baru dan bersesuaian dengan keadaan semasa. Justeru, bermulalah pencarian saya. Dari sebuah artikel ke sebuah artikel lain. Sehinggalah saya menjumpai sebuah artikel pendek hasil nukilan Amru Khalid, seorang cendekiawan Arab.

Entry kali ini ialah rumusan daripada artikel tersebut. Sama dengan apa yang saya bentangkan dalam usrah saya sebelum ini. Semoga bermanfaat kepada semua!


Saya Mesti Muslim Dari Sudut Akhlak

Sebelum pergi lebih lanjut, pernah atau tidak terlintas dalam benak kepala anda beberapa persoalan seperti, kenapa akhlak? Penting sangat ke? Mana lebih penting berbanding ilmu pengetahuan? Bukankah wahyu pertama yang diturunkan adalah tentang ilmu pengetahuan, bukannya akhlak? Kenapa pula kita kena belajar tentang akhlak muslim?

Ok. Saya ingin membawa anda semua kepada sebuah bentuk pemahaman baru. Sebenarnya bukanlah baru itu bermaksud baru, tetapi perkara itu telah lama wujud. Cuma ingin diterjemahkan dalam bentuk pemahaman terkini. Saya percaya semua sudah tahu, hanya tidak sedar sahaja.

Saya bermohon kepada Allah s.w.t. agar sesiapa yang membaca tulisan saya ini, di mana-mana sahaja, agar kita sama-sama dibukakan hati oleh-Nya dan dilapangkan dada serta dipermudahkan setiap urusan dunia mahupun akhirat.


Matlamat Utama Nabi Muhammad s.a.w. Dibangkitkan

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الْأَخْلَاقِ
“Sesungguhnya aku telah diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.” (HR Imam Malik)

Sila renung dan teliti betul-betul maksud hadith di atas.

Betul ke matlamat utama Nabi s.a.w. adalah untuk menyempurnakan akhlak? Bukankah Allah s.w.t. telah berfirman bahawa Nabi s.a.w. ini diutuskan sebagai rahmat sekalian alam, bukan akhlak semata-mata?

Firman Allah dalam surah al-Anbiya, ayat 107:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

“Dan tidaklah Kami mengutuskan kamu melainkan sebagai rahmat ke seluruh alam.”

Saya ingin mengajak anda semua untuk berfikir bersama saya. Bayangkan, seandainya sesebuah masyarakat itu diselubungi dengan penipuan, tipu daya, pecah amanah, dan keruntuhan moral, adakah di sana akan wujud rahmat dalam masyarakat?

Bagaimana pula dengan keadaan kaum kerabat dan keluarga yang dipenuhi rasa kebencian, hasad, dan dendam, justeru di manakah rahmat?

Percayalah, sesungguhnya hubungan antara akhlak dan rahmat itu adalah hubungan erat lagi kukuh. Ketahuilah juga bahawa tidak akan wujud rahmat sekalian alam tanpa adanya akhlak.

Anda setuju dengan kenyataan saya?

Mungkin ada dalam kalangan anda akan menjawab, “Saya setuju dengan hadith berkenaan akhlak di atas, tetapi ibadat itu lebih utama. Adakah penulis ingin menyatakan bahawa akhlak itu lebih penting berbanding solat, puasa, zakat, dan haji?”

Baiklah. Dengar pula jawapan saya. Ya, akhlak lebih penting.

Kenapa? Kerana tanpa kita sedar setiap amal ibadat itu sebenarnya bertujuan untuk mendisiplin akhlak. Jika tidak, jadilah ibadat itu umpama senaman badan semata-mata!!

Saya pohon kepada semua agar fahami betul-betul intipati kalam saya. Jangan dirumitkan. Saya tidak bermaksud untuk merumitkan perbincangan ini dengan hal-hal yang melibatkan Fiqh, Akidah, dan sebagainya. Saya hanya ingin anda faham maksud akhlak dari persepsi yang lebih luas.


Solat Membentuk Akhlak


Firman Allah s.w.t. dalam surah al-‘Ankabut, ayat 45:

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاء وَالْمُنكَرِ

“..dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu (dapat) mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar.”

Subhanallah!!

Justeru, sesiapa yang masih melakukan perbuatan keji dan mungkar itu ternyata solat mereka itu hanyalah sekadar senaman yang memenatkan semata-mata. Buktinya ialah akhlak mereka bertambah buruk.

Bukankah perbuatan keji dan mungkar itu adalah akhlak buruk? Iaitu bukan akhlak (perbuatan) yang Islam kehendaki.

Allah s.w.t. telah menyebut dalam sebuah hadith qudsi;

إنما أتقبل الصلاة ممن تواضع بها لعظمتي، ولم يستطل بها على خلقي، ولم يبت مصرا على معصيتي، وقطع النهار في ذكري، ورحم المسكين وابن السبيل ورحم الأرملة ورحم المصاب

“Sesungguhnya Aku menerima solat daripada orang yang merendahkan diri (tawaduk) kerana kebesaran-Ku dan tidak berlaku sombong terhadap makhluk-Ku dan tidak terus-menerus melakukan maksiat kepada-Ku. Dan dia menghabiskan hari siangnya dalam ingat kepada-Ku (zikrullah), dan dia sayang kepada orang yang miskin, ibnu sabil (orang yang kehabisan belanja dalam perjalanan) dan janda (yang kematian suami) dan sayang kepada orang yang ditimpa musibah.” (HR az-Zabidi)

Lihatlah hubungan antara solat dan akhlak (tawaduk dan kasihan belas). Seterusnya, fahamilah bahawasanya sekiranya solat anda itu tidak mampu untuk menjadikan anda seorang yang tawaduk dan mengasihani sesama makhluk, maka di sana solat itu adalah sia-sia dan langsung tidak membuahkan sebarang hasil yang sempurna.


Zakat dan Sedekah

Firman Allah s.w.t. dalam surah at-Taubah, ayat 103;

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا

Ambillah oleh kamu akan zakat dari sebagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka..”

Maha Suci Engkau ya Allah!!

Sesungguhnya matlamat utama zakat adalah penyucian. Maksud penyucian pula ialah pentarbiyahan akhlak dan budi pekerti. Bagaimana saya boleh membuat rumusan sedemikian?

Baiklah. Pernahkah anda mendengar sabda Nabi Muhammad s.a.w.:

تبسّمك في وجه أخيك صدقة

“Senyuman kamu pada wajah (di hadapan) saudara kamu adalah sedekah.”

Lihatlah betapa dalamnya maksud sabda di atas. Saya tahu, kebanyakkan antara anda sudah mengetahui hadith tersebut. Bahkan ada yang sudah menghafalnya. Namun, adakah anda (dan saya) sudah mendalami maksudnya? Merasai kesannya pada hati sanubari dan iman?

Ayuh!! Maniskan wajah dengan senyuman. Jangan kedekut untuk senyum. :)

تبسمك في وجه أخيك صدقة، وأمرك بالمعروف ونهيك عن المنكر صدقة، وإرشادك الرجل في أرض الضلال لك صدقة، وإفراغك من دلوك في دلو أخيك صدقة، وإماطة الأذى عن الطريق صدقة، وبصرك للرجل الرديء البصر صدقة، وأعظم الصدقة لقمة يضعها الرجل في فم زوجته

“Senyuman kamu pada wajah (di hadapan) saudara kamu adalah sedekah, suruhan kamu ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah sedekah, kamu menunjuki orang yang tersesat juga merupakan sedekah bagimu, kamu menuangkan air dari timbamu ke timba saudaramu juga merupakan sedekah, membuang kesakitan (menyingkirkan batu, duri, tulang dan lain²) dari jalan juga merupakan sedekah, membantu orang yang kurang penglihatannya juga merupakan sedekah, dan satu suapan seorang lelaki ke mulut isterinya ialah sebesar-besar sedekah.” (HR Tirmizi)

Oleh yang demikian, saya berharap kefahaman anda terhadap sedekah sudah terbuka luas. Tidak terhad. Hadith di atas menunjukkan betapa sedekah adalah salah satu bentuk pentarbiyahan akhlak. Itulah “Sedekah Akhlaqiyyah”.


Puasa Sebagai Pengawas

Sabda Nabi Muhammad s.a.w.:

إذا كان يوم صوم أحدكم فلا يرفث ولا يسخب، فان سابه أحد أو قاتله، فليقل: إني صائم

“Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa, janganlah dia mengeluarkan kata-kata yang buruk (keji) dan membangkitkan syahwat kepada perempuan dan janganlah dia berbuat kekacauan. Maka jika ada yang mencaci-maki (marah) atau hendak membunuh, maka hendak dia berkata: Sesungguhnya aku sedang berpuasa..” (HR Muslim dan Ibn Majah)

Subhanallah!!

Kita telah melihat hubungan antara solat dan sedekah dengan akhlak. Demikian juga puasa. Adakah anda semua sudah setuju dengan apa yang telah saya utarakan?

Jika anda masih meragui perkara tersebut, saya akan bentangkan pula kaitan haji dengan akhlak. Semoga keyakinan itu terserlah!


Haji Adalah Kemuncak

Firman Allah s.w.t.:

الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَاتٌ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلاَ رَفَثَ وَلاَ فُسُوقَ وَلاَ جِدَالَ فِي الْحَجِّ

“(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji..” (Al-Baqarah:197)

Haji ialah satu bentuk latihan yang keras terhadap akhlak umat Islam. Sesiapa yang pergi ke tanah suci untuk menunaikan ibadat Haji mesti berdisiplin. Tidak boleh meninggikan suara (menengking), mengumpat, menghina, dan segala perbuatan serta akhlak buruk yang lain. Semua itu tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menjamin supaya ibadat tersebut diterima Allah s.w.t.

Di sana, pelbagai ragam dan perangai manusia akan terserlah. Bayangkan jutaan manusia membanjiri satu tempat untuk melakukan satu ibadat dalam satu masa yang terhad. Betul-betul menguji keimanan dan kesabaran. Menuntut kecekalan dan ketabahan setiap insan. Inilah proses pentarbiyahan akhlak yang kemuncak. Berbahagialah sesiapa yang berjaya dan terus berakhlak mulia walau setelah pulang ke negeri masing-masing.

Sesunguhnya setiap amal ibadat manusia seperti solat, puasa, zakat dan haji itu terserlah nilainya pada akhlak manusia sehari-harian. Dalam kata lain, boleh dikatakan secara zahir bahawa sesiapa yang buruk akhlaknya pasti ada sesuatu yang tidak kena pada ibadatnya. Maha Suci Engkau wahai Tuhan..


Apakah Yang Mendahului? Yang Manakah Lebih Penting?

Sesetengah manusia menganggap bahawa perkara paling penting dalam Islam dan mesti didahulukan ialah mempelajari Fiqh. Kemudian diikuti dengan menghafal al-Quran. Ilmu mesti didahulukan, dan akhlak didatangkan kemudian.

Ilmu atau akhlak? Jom sama-sama kita perhatikan ayat-ayat al-Quran di bawah.

رَبَّنَا وَابْعَثْ فِيهِمْ رَسُولاً مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُزَكِّيهِمْ إِنَّكَ أَنتَ العَزِيزُ الحَكِيمُ

“Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan kitab serta hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat)..” (Al-Baqarah:129)

Ayat tersebut didatangkan dengan lafaz daripada Nabi Ibrahim a.s. dan didahulukan lafaz ilmu terhadap lafaz akhlak. Iaitu يعلم dan يزكي . Mesti sesiapa yang berpendapat ilmu lebih diutamakan berbanding akhlak akan berasa gembira kerana ayat tadi memenangkan pendapat mereka.

Namun, tahukah anda bahawa ayat tersebut didatangkan dalam al-Quran pada empat tempat? Tempat pertama merupakan kalam daripada Nabi Ibrahim a.s. dan 3 lagi adalah kalam daripada Allah s.w.t. Perbezaannya hanyalah susunan keutamaan antara ilmu dan akhlak.

Antaranya, firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah, ayat 151:

كَمَا أَرْسَلْنَا فِيكُمْ رَسُولاً مِّنكُمْ يَتْلُو عَلَيْكُمْ آيَاتِنَا وَيُزَكِّيكُمْ وَيُعَلِّمُكُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُعَلِّمُكُم مَّا لَمْ تَكُونُواْ تَعْلَمُونَ

“(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.”

Ayat di atas mendahulukan tazkiah (akhlak) terhadap ilmu. Dalam kata lain, hanya satu tempat sahaja ilmu didahulukan iaitu pada kalam Nabi Ibrahim a.s. Adapun pada 3 tempat lagi iaitu pada kalam Allah s.w.t. seperti ayat di atas, tazkiah lebih didahulukan. Ini merupakan bukti jelas bahawa akhlak amat diutamakan dalm Islam. Maka bertepatanlah ayat-ayat tersebut dengan asal kebangkitan Nabi Muhammad ke alam dunia sebagai penyempurna akhlak yang mulia.


Merawat Perselisihan Antara Akhlak dan Ibadat

Dunia sekarang menyaksikan wujud dua golongan iaitu;
1. Seorang ‘Abid (ahli ibadat), tetapi buruk akhlaknya.
2. Seorang yang berakhlak mulia, tetapi teruk ibadatnya.

Maka kita dapat lihat dengan mata kepala kita sendiri sebilangan manusia yang sentiasa solat, berpuasa, mengeluarkan zakat, dan menunaikan haji, tetapi akhlak mereka amat teruk dan buruk.

Samalah juga dengan sebilangan yang lain, yang baik akhlaknya, amat dermawan, baik hati, tetapi tidak mendirikan solat.

Wahai teman-temanku.. Waspadalah!! Ini merupakan agenda golongan sekular yang telah berjaya diterapkan dalam sistem kehidupan kita. Mengasingkan antara ibadat dan akhlak. Sedangkan Islam menyatukannya. Ibadat dan akhlak saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain.

وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعاً أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“..dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (An-Nur: 31)

وَعِبَادُ الرَّحْمَنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْناً وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَاماً . وَالَّذِينَ يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمْ سُجَّداً وَقِيَاماً . وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا اصْرِفْ عَنَّا عَذَابَ جَهَنَّمَ إِنَّ عَذَابَهَا كَانَ غَرَاماً . إِنَّهَا سَاءتْ مُسْتَقَرّاً وَمُقَاماً . وَالَّذِينَ إِذَا أَنفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَلِكَ قَوَاماً

“Dan hamba-hamba (Allah) ar-Rahman (yang diredhai-Nya) ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini. Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri. Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengertikan, sesungguhnya neraka Jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk. Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut, dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” (Al-Furqaan: 63-67)


اللَّهُمَّ حَبِّبْ إِلَيْنَا الإِيْمَانَ وَزَيِّنْهُ فِيْ قُلُوْبِنَا ، وَكرِّهْ إِلَيْنَا الْكفْرَ وَالْفُسُوْقَ وَالْعِصْيَانَ وَاجْعَلْنَا مِنَ الرَّاشِدِيْنَ

“Ya Allah ya Tuhanku! Jadikanlah kami cintakan iman dan hiaskanlah iman itu di hati kami, dan jadikanlah kami (daripada golongan orang-orang yang) benci kepada kekufuran, kefasikan (penderhakaan) dan kemaksiatan, serta jadikanlah kami daripada golongan orang-orang yang bijak.


Penulis : Wan Mohd Al Hafiz bin Wan Mustapa
Emel : cendekiawanalhafiz@gmail.com
Sumber : cendekiawanalhafiz.blogspot.com
--------------------------------
حسبي الله ونعم الوكيل ولا حول ولا قوة إلا بالله العليّ العظيم